Sastera sebagai Penyambung Naluri Keinsanan

Khamis, November 1

Renungan Bersama...Berakhirnya Modul ACF 321

Tanpa disedari sudah berakhir modul Pengajaran Sastera Melayu ACF 321 yang dikendalikan oleh Dr Razif Bahari. Secara peribadi, saya telah banyak mempelajari tentang teknik pengajaran sastera yang diusulkan oleh Dr Razif Bahari dan juga melalui diskusi bersama teman-teman seperjuangan. Pada saya, sastera sungguh indah jika individu itu dapat menghayati dan menghargainya. Bukan semua orang yang boleh menghayati sastera kerana pastinya pelbagai alasan yang diberi seperti sangat menjemukan, tiada kaitan dengan kehidupan harian, khayalan semata-mata dan senarainya akan berterusan. Pada saya, sastera sungguh indah bukan setakat bahasanya tetapi mesej, pengajaran dan sebagainya yang tersurat dan tersirat di dalam karya tersebut. Pastinya apa yang berlaku telah diilhamkan dan dirakamkan di dalam pembentukan karya agar kita dapat menilainya sendiri. Contohnya, cerita Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, saya terkesan dengan kemiskinan yang dilalui oleh kaum petani yang penuh dengan cabaran tetapi mereka tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan hidup mereka!

Saya berasa beruntung kerana melalui modul-modul di NIE telah dapat mendedahkan saya terhadap sastera. Dahulu, memang agak sukar untuk saya meluangkan waktu untuk membaca kerana tuntutan kerja sebagai seorang pendidik. Terlalu banyak masa dihabiskan dengan menyemak buku-buku pelajar, hal-hal administrasi yang harus dibereskan, melakarkan rancangan atau program, menghadiri kursus-kursus dan banyak lagi.

Sekarang, di NIE, saya dapat membaca karya-karya kerana masa lebih mengizinkan.

Kepada bakal pelajar-pelajar saya pula, terimalah pesanan saya ini.



Khamis, Oktober 25

Renungan Bersama... Cabaran Mengajar Sastera

Pada minggu lepas, kumpulan saya telah merancang satu pengajaran sastera bagi peringkat sekolah menengah dua ekspres bersandarkan teks Hikayat Jerubu Pulau Jerubuk. Kumpulan saya telah mengenalpasti objektif pengajaran tentang lambang dan perlambangan berdasarkan teks tersebut. Perlu saya tekankan sesungguhpun kami diberi satu hari untuk persiapkan rancangan pengajaran ini, hasilnya pun memuaskan...sedangkan kumpulan lain ada seminggu hingga dua minggu. Hai...nasib 'baik' selalu menyebelahi saya!

Sewaktu saya dan teman menjalankan pengajaran kami dan setelah melihat pengajaran rakan-rakan yang lain, saya dapati bahawa pengajaran sastera ini perlu melibatkan grafik, video, aktiviti hands-on yang menarik dll agar sastera dapat diajar dengan lebih berkesan dan penting sekali, ia menarik. Kalau tidak pengajaran sastera akan membosankan pelajar jika guru hanya setakat bercakap dan pelajar hanya membaca teks demi teks.

Sesungguhpun, kami adalah guru sekolah rendah yang tidak pernah mengajar sastera, ini merupakan satu cabaran dan kami perlukan ruang dan peluang untuk mengatasinya.

Saya teringatkan ungkapan tutor saya bagi modul komunikasi, beliau mengingatkan kepada kami bahawa kita perlukan pelajar 'Wanting BUT Not Waiting!' Apa yang dimaksudkan beliau ialah, kita mahukan pelajar kita 'Wanting' lebih informasi mengenai sesuatu pengajaran kerana bila timbul perasaan ini, ia menunjukkan yang pengajaran kita menarik dan mereka mahukan lebih daripada kita.

Tetapi janganlah pelajar kita 'Waiting' untuk masa pengajaran kita tamat secepat mungkin kerana ini memberi bayangan yang pengajaran kita menjemukan dan mereka tidak berminat lagi!

Hai...mestilah saya mahukan pelajar saya 'Wanting' bukanlah 'Waiting'!

Jumaat, Oktober 5

Sastera di Sekolah Sukan Singapura?



Pada hari ini, saya telah berpeluang ke Sekolah Sukan Singapura (SSS) yang terletak di Woodlands. Wah! SSS teramatlah besar! Saya berasa seronok dan berminat ingin tahu mengenai sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah ini dan cara SSS beroperasi.

Cikgu Syafiee telah membawa saya dan rakan-rakan yang lain mengelilingi kawasan sekolah ini. Saya juga berkesempatan menjenguk sebentar ke perpustakaan mereka. Saya juga berkesempatan bertanya kepada Cikgu Syafiee bagaimana beliau mengajar sastera di kelasnya. Cikgu Syafiee memberitahu bahawa selain membawa pelajar-pelajarnya menonton pementasan di luar, beliau turut mengajar sastera dengan menggunakan kaedah lain seperti IT, video dan sebagainya. Setiap pelajar Bahasa Melayu akan melanggani Berita Harian sepanjang tahun agar sikap membaca itu dapat dipupuk.

Terdapat 90 lebih bilangan murid Melayu dan seramai 10 orang murid Melayu yang mengambil Bahasa Melayu Lanjutan di SSS. Baharulah saya tahu bagaimana Bahasa Melayu khususnya sastera diajarkan di sini. Selain bersukan, pelajar pun bersastera!

Khamis, Oktober 4

Bersama Mohamed Latiff Mohamed



Pada pukul tiga petang tadi, saya telah membuat temu janji untuk menemuramah penulis mapan Mohamed Latiff Mohamed di Perpustakaan Woodlands di Pusat Sivik. Beliau adalah penulis puisi-puisi popular yang sering diperkatakan yakni, Melayuku Melayumu, Melayu Baharu dan banyak lagi. Beliau juga adalah pengarang bagi novel, Ziarah Rindu, Ziarah Cinta dan Batas Langit.

Selama 2 jam setengah berbual bersama beliau, saya rasa segan dan terharu mendengar luahan rasa hati beliau. Beliau telah melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap perjuangannya selama 40 tahun berkarya, memperjuangkan nasib masyarakat Melayu bawahan tetapi beliau tidak nampak keberkesanannya. Pada beliau, apa yang beliau tulis selama ini sia-sia belaka dan beliau terasa sepi kerana tiada sesiapa yang memahami perjuangan beliau.

Saya berasa seronok mendengar cerita-cerita pengalaman hidupnya. Baru-baru ini, beliau telah mengajar kelas sastera di salah sebuah maktab rendah sebagai guru sambilan. Beliau terperanjat kerana di dalam kelas itu tidak sesiapa yang mengenali beliau. Setelah ditulis namanya di papan putih, ada seorang pelajar itu mengagak yang beliau ialah seorang penulis. Salah siapa? Salah pelajar yang tidak membaca secara meluas? Salah guru sastera? Tetapi inikan kelas sastera!

Salah satu cerita yang membuat saya rasa terkilan, jiran Indianya mengenali beliau tetapi bukan jiran Melayunya yang bekerja sebagai pemandu teksi. Apakah yang telah berlaku? Bukan rasa kecewa kerana tidak dikenali, tetapi masyarakat Melayu masih belum banyak berubah...

Pada akhir sesi temu ramah itu, rasa hormat saya kepada beliau meloncat tinggi, bukan sahaja kerana beliau seorang tua, tetapi oleh kerana gagasan-gagasan hidup beliau yang disampaikan melalui karyanya. Kita perlu mengenali untuk memahami...

Rabu, Oktober 3

Renungan Bersama...Puisi diajar melalui nilai estetika Atau fungsinya?

Semalam, semasa menghadiri kuliah sastera Encik Azhar, seorang pensyarah muda di NIE, beliau mengatakan tentang peperiksaan sastera di peringkat 'A', di mana puisi-puisi diajar melalui aliran formalistik, lebih mementingkan nilai estetika, lebih menekankan asonansi, hiperbola, ironi, metafora dan banyak lagi. Walhal, yang sebenarnya, fungsi sebenarnya tidak ditekankan dan tidak didalami. Puisi adalah alat yang penting untuk membangunkan kesedaran rakyat. Puisi adalah sesuatu yang benar dan bukan setakat sedap didengar! Puisi yang bermutu mempunyai fungsi sosial, berpihakan, memiliki kejelasan dan mempunyai tenor sama ada pemberdayaan(empowerment), kepasrahan, kemulukan atau realis.

Buat sejenak, saya terfikir di dalam hati, tetapi kita memang diajarkan sebegitu rupa. Ini adalah pembentukan kurikulum oleh pihak kementerian dan kita tidak mampu berbuat apa-apa atau dengan kata lain, sudah ditetapkan dan tidak dipersoalkan. Jadi, yang harus berubah ialah mereka yang bertanggungjawab membina kurikulum agar generasi muda ini, khususnya remaja, dapat menilai puisi dari sudut fungsinya selain daripada nilai estetikanya.

Berubah? Bila boleh berubah? Saya pun pasrah...

Jumaat, September 28

Di Perpustakaan Menjelang Petang

Semalam, saya telah ke perpustakaan rujukan Lee Kong Chian di Victoria Street. Saya ke sana dengan bertujuan untuk mencari bahan pembentangan bagi modul sastera saya. Saya suka dengan keadaan sekeliling di perpustakaan ini kerana amat tenteram. Saya mengamati pandangan yang indah melalui tembok kaca perpustakaan itu, dan timbul pula rasa nyaman dan tenang di dalam jiwa saya. Sangat berbeza keadaan perpustakaan ini berbanding dengan perpustakaan berdekatan estet perumahan. Ya, banyak perbezaannya!

Sambil mencari bahan-bahan pembentangan, saya terjumpa artikel-artikel yang menarik perhatian saya, lantas saya membacanya dengan khusyuk. Tanpa saya sedari, waktu sudah pukul tiga petang. Huh, sudah lima jam saya di sini! Begitu pantas masa berlalu! Saya mengeluh kerana waktu begitu mencemburui saya. Secara kebetulan, pada ketika itulah, saya temui puisi ini dan mengukir sekuntum senyuman kerana puisi ini benar-benar menggambarkan perasaan saya pada detik itu. Dengan segera saya membuat salinan agar boleh menjadi entri blog kali ini.

Di Perpustakaan Menjelang Petang

Aku memasuki rumahmu
dengan langkah waspada
mengutip aksara demi aksara
merungkaikan kata menyimpul makna
mengasah idea menajam minda
dengan tekad membara
mencari ilmu mengongsi cita.

Aku keluar rumahmu
dengan langkah ceria
sarat ilmu di dada
penuh ceritera gembira
menyemai hasrat menitip jaya
bersama para pujangga
menyelongkar rahsia dunia

Mohd. Amran Daud
Dewan Sastera
Julai 2004

Nampak gayanya saya akan lebih kerap ke sini kerana di sinilah saya akan dapat mencari ketenangan sambil menyelongkar segala rahsia.



Rabu, September 26

Sepuluh Sen


Tajuk Cerpen : Sepuluh sen dari projek X -Antologi puisi, cerpen dan novel remaja
Karya : Sheikh Anwarul Mohd Sharif

Sinopsis :
Ansari merupakan seorang anak remaja yang gemar budaya lepak. Kerap kali dia pulang lewat ke rumah dan gagal memberitahu ibunya, Mak Tipah. Pada suatu hari, Ansari pulang terlalu lewat malam sehinggakan ayahnya, Pak Dolah, hilang sabar lantas membantainya seteruk-teruknya sehinggakan bajunya koyak dan badannya berbilur. Mak Tipah hanya mampu menyaksikan hukuman yang Ansari terima. Kemudiannya, Mak Tipah menasihatinya anaknya itu agar menelefon rumah sekiranya dia akan pulang lewat. Sepuluh sen sahaja untuk menghilangkan rasa risau Mak Tipah. Mulai pada hari itu, Ansari berjanji dia akan berbuat demikian.

Namun pada suatu hari, dia mahu menghubungi ibunya untuk memberitahunya bahawa dia akan pulang lewat tetapi ditegah oleh kawan-kawannya dengan alasan bahawa ibu Ansari akan pasti menyuruh dia balik dengan segera sekiranya Ansari menelefon rumah. Maka atas desakan kawan-kawannya, Ansari membatalkan niatnya itu.

Apabila, Ansari pulang ke rumah, dia dapati rumahnya dipenuhi orang. Rupa-rupanya, Mak Tipah telah meninggal dunia kerana tergelincir semasa memanjat kerusi untuk mengambil ubat sakit kepalanya. Kepalanya terhentak ke lantai. Ansari tidak dapat melihat ibunya untuk kali terakhir.

Kini dia berasa kelindan sebab tidak mendengar nasihat arwah ibunya:
“Telefon rumah bila di luar nanti. Jangan asyik bersuka-ria saja. Bukan mahal. Sepuluh sen.” Ya, sepuluh sen sahaja.

(Diterbitkan di ruangan “Coretan Remaja” Berita Harian pada 30 Mei 1997, Hadiah Penghargaan, Anugerah Persuratan 1999.)


Isu Moral:
1) Tepati janji. Perlu menghubungi ibu bapa jika pulang lewat malam supaya mereka tidak berasa khuatir akan keselamatan anak mereka.
2) Menghargai kasih-sayang ibu bapa.

Persoalan-persoalan yang timbul di dalam teks yang dipilih :

1. kebebasan yang diingini
2. pengaruh kawan yang kuat
3. tidak menghiraukan nasihat ibu bapa
4. sikap ungkal yang teramat
5. kekesalan yang tidak dapat mengubah keadaan

Apakah yang ingin dicari oleh remaja secara amnya?

- “Siapakah aku?”
Mencari identiti diri dengan inginkan kehadiran kawan-kawan di dalam hidup (supaya diterima); mencorak gaya dan laluan hidup yang diinginkan kekadang atas desakan atau pengaruh kawan sebaya.

- “Arah manakah perlu kutujui?”
Ke arah mengecapi kejayaan walaupun kejayaan yang tidak sebesar mana seperti lulus dalam ujian kelas kerana terlalu kerap gagal dalam meniti perjalanan hidup sebagai seorang remaja seperti kegagalan dalam peperiksaan, tekanan dari rumah dan lain-lain lagi.

- “Bagaimanakah dapat aku capai tujuan itu?”
Mempunyai rasa percaya dan yakin akan kemampuan sendiri serta jangan mudah berputus asa. Disiplin diri yang tinggi dan tahu apa yang diinginkan dalam mencari pengertian hidup. Diri perlu dilengkapi ilmu untuk meraih kejayaan hidup.

- “Aku akan jadi individu seperti apa bila dewasa kelak?"
Siapakah yang boleh dicontohi? Ayah ? Abang ? Menyara keluarga kerana telah banyak berkorban (sokongan, kewangan dll) serta berbakti kepada ibu dan bapa kerana aku juga mahukan layanan seperti begitu apabila aku meniti hari senjaku.

Ahad, September 23

Khas Untukmu Rendra





Khas untukmu Rendra...

dari Kota Singa menuju ke Solo Selatan
coba mencari jawapan kehidupan yang tenang
namamu Rendra akan terus menjadi sebutan
pengorbananmu pula akan sentiasa dikenang

kehidupan yang tenang fantasi belaka
bermurung, gelisah penuh masalah
walaupun kau pernah meringkuk di penjara
tidak pernah kau mengalah dan menyerah

selagi dunia tegap berdiri bersama
selagi itu tiada akhir bagi semua
sememangnya semangatmu akan dipuja
kerna tidak akan mengerti tanda noktah



Selasa, September 18

Ke Makam Bonda

Pada hari ini, saya mendapat tahu bahawa salah seorang bekas anak didik saya kematian ibunya kerana menghidapi penyakit barah. Hati saya begitu tersentuh, memandangkan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, anak didik saya menempuh tamparan hebat dalam hidupnya. Saya hanya mampu memberinya semangat untuk teruskan hidup...walaupun pada hakikatnya agak sukar menerima kenyataan bahawa orang yang selama ini membesarkan kita, sudah pergi untuk selama-lamanya. Sepanjang jalan semasa saya ingin pulang ke rumah, hati saya begitu sebak memikirkan keadaan anak didik saya itu. Hati saya berdetik...bagaimanakah nanti keadaannya menjelangnya 1 Syawal? Apakah perasaannya apabila mendengar takbir hari raya nanti? Sesungguhnya, kekadang kita begitu alpa ...membuat andaian seseorang itu akan pasti berada disisi kita pada hari ini, esok, tulat dan hari-hari yang mendatang. Hati saya begitu berat kerana saya pun turut berasa bersalah...

Tatkala itu, saya teringatkan puisi oleh Usman Awang bertajuk Ke Makam Bonda.
Marilah kita menghayati setiap kekata yang ditulis oleh beliau pada tahun 1955.

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan


Saya pun turut sisipkan klip video Ke Makam Bonda nyanyian kumpulan UNIC.
Marilah sekarang kita menghayati lagu nyanyian UNIC yang menyentuh kalbu bagi sesiapa yang mendengarnya.




Isnin, September 17

Lagu Kanak-Kanak: Senjakala

Senjakala (Waktu Senja)

Asar sudah lepas,

hari sudah petang

Main sudah puas,

mari kita pulang


Senjakala,senjakala

Mari kita pulang (2x)


Malam sudah datang,

siang sudah pergi

Sekarang kita pulang,

esok datang lagi


Senjakala,senjakala

Esok datang lagi (3x)



3 sudut pandangan yang berbeza mengenai lagu kanak-kanak ini :

1. Pekebun :

Waktu senja merupakan waktu untuk mereka berhenti bercucuk tanam kerana malam akan tiba dan mereka akan meneruskan kerja-kerja bercucuk tanam pada hari yang berikutnya bila siang menjelma. Para petani juga turut memerlukan waktu rehat agar mereka dapat melaksanakan aktiviti bercucuk tanam pada keesokan harinya. Tidak ada gunanya mereka teruskan aktiviti bercucuk tanam pada waktu malam kerana kawasan ladang mereka akan ditelan kegelapan. Mempunyai harapan agar hari esok akan datang lagi memandangkan para petani menyara kehidupan mereka, dengan bergantung sepenuhnya pada hasil cucuk tanam mereka.


2. Ahli Falak :

Elemen waktu yakni siang dan malam adalah satu proses alamiah yang berlaku pada planet bumi akibat putaran bumi di orbit mengelilingi matahari. Timbulnya siang akibat sinaran matahari yang merupakan bintang yang terdekat dengan bumi dan cahaya dari matahari inilah yang menerangi bumi, senja pula akibat matahari hampir terbenam dan malam pula berlaku akibatnya bulan melindungi cahaya dari matahari dan cahaya bulan sebenarnya berasal dari pantulan cahaya matahari sehinggakan bulan dapat dilihat dari planet bumi. Ini merupakan proses berterusan dan berlaku dalam masa 24 jam.


3. Ahli Falsafah :

Kehidupan ini merupakan putaran roda di mana ada masanya kita di atas (siang), di mana kita akan merasa kenikmatan hidup dan ada ketikanya kita di bawah (malam), di mana kita akan terus dicengkam masalah (senjakala) kerana masalah itu akan datang dan tidak akan berhenti selagi kita bernafas di muka bumi ini.


Ahad, September 16

Sasterawan Terbilang

Sasterawan Terbilang dari Malaysia dan Indonesia menjadi pilihan bagi entri blog saya kali ini.

Siapakah mereka yang saya maksudkan?
A Samad Said dan WS Rendra.

Apakah yang diperkatakan?
Kemerdekaan dan Revolusi.

Tatapilah klip video ini kerana mesej yang ingin disampaikan penuh penghayatan, sesungguhnya kita bangsa yang serumpun, mempunyai tanggungjawab tersendiri. Peranan kita sebagai penduduk negeri dan manusia dunia disentuh oleh mereka berdua.

Ayuh! Bangkitlah bangsaku!

Erti Kemerdekaan oleh A Samad Said


Revolusi oleh WS Rendra

Sabtu, September 15

Tekad

Glitter Words




Puisi Tekad adalah ciptaan Mohamed Latiff Mohamed dari Antologi 'Segumpal Api Selingkar Pelangi' yang dinyanyikan oleh Nuradee.
Lagu ini merupakan di antara lagu yang saya gemari nyanyian Nuradee. Dengarkanlah...


TEKAD

jika malam ini akan berinai juga
kankupimpin tangan anak-anak bangsa
menuju telaga bening merah jingga
tanda perjuanganku kembali bermula

jika berseri nasi pengantin
kankubakar malam ini dengan api lilin
dengan bunga di tujuh musim
tanda kembalinya Jebat berkeris lading.

Dewan Sastera
Jun 1977


Mengapakah puisi ini menjadi pilihan bagi entri saya?

Selain daripada alunan lagu gemerisik dan nyanyian Nuradee yang merdu, puisi ini pada pendapat saya cukup istimewa. Tajuknya sahaja memberi impak yang dalam. Sesungguh pun perjuangan kita belum ada kesudahannya namun kita mestilah bertekad untuk berjaya. Itulah perkara yang penting bagi masyarakat kita.

Erti Sastera





Setelah sebulan berlalu, saya lebih menghargai sastera BUKAN kerana saya terpaksa menelaah untuk peperiksaan tetapi membawa pengertian yang mendalam bagi diri saya. Mengenali penulis-penulis sastera, latar belakang hidup masyarakat sezaman mereka, membayangkan keadaan kehidupan yang sebenarnya tiada keadilan dan banyak lagi. Saya bersyukur dilahirkan pada zaman ini, di mana saya tidak perlu melalui perit jerih kehidupan masa silam.


Sememangnya, manusia yang mencorak segala-galanya. Sastera pula adalah alat untuk mewarnai dunia. Sastera merupakan satu kesenian kerana mampu menggambarkan cerminan kehidupan manusia sejagat yang nyata dan mengupas isu-isu membelenggu masyarakat, namun nilai seni terpulang bagi manusia itu untuk menentukannya. Pada hakikatnya, manusia itu adalah makhluk yang dianugerahkan Tuhan, otak untuk berfikir dan menganalisa. Entri-entri blog yang akan dikirimkan nanti, mampu menunjukkan sesungguhnya sastera itu berbagai bentuknya dan penyampaiannya pun berbeza. Nantikan bersama...


Pengenalan...

Blog ini disiapkan dengan objektif untuk memenuhi tuntutan modul ACF321-Pengajaran Sastera Melayu bagi Semester 1 Ogos/2007 yang dikendalikan oleh Dr Razif Bahari. Pada dasarnya, ia merupakan salah satu tugasan yang perlu dilaksanakan dan disempurnakan oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi bagi memenuhi tuntutan modul ini. Tetapi lama-kelamaan, semasa saya mengumpulkan bahan-bahan untuk menyiapkan blog ini, ia merupakan wadah bagi saya membuat pernyataan fikiran dan perasaan saya dalam bentuk penulisan.
Ikutilah perkembangan semasa saya dalam proses pembentukan blog ini...