Sastera sebagai Penyambung Naluri Keinsanan

Selasa, September 18

Ke Makam Bonda

Pada hari ini, saya mendapat tahu bahawa salah seorang bekas anak didik saya kematian ibunya kerana menghidapi penyakit barah. Hati saya begitu tersentuh, memandangkan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, anak didik saya menempuh tamparan hebat dalam hidupnya. Saya hanya mampu memberinya semangat untuk teruskan hidup...walaupun pada hakikatnya agak sukar menerima kenyataan bahawa orang yang selama ini membesarkan kita, sudah pergi untuk selama-lamanya. Sepanjang jalan semasa saya ingin pulang ke rumah, hati saya begitu sebak memikirkan keadaan anak didik saya itu. Hati saya berdetik...bagaimanakah nanti keadaannya menjelangnya 1 Syawal? Apakah perasaannya apabila mendengar takbir hari raya nanti? Sesungguhnya, kekadang kita begitu alpa ...membuat andaian seseorang itu akan pasti berada disisi kita pada hari ini, esok, tulat dan hari-hari yang mendatang. Hati saya begitu berat kerana saya pun turut berasa bersalah...

Tatkala itu, saya teringatkan puisi oleh Usman Awang bertajuk Ke Makam Bonda.
Marilah kita menghayati setiap kekata yang ditulis oleh beliau pada tahun 1955.

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan


Saya pun turut sisipkan klip video Ke Makam Bonda nyanyian kumpulan UNIC.
Marilah sekarang kita menghayati lagu nyanyian UNIC yang menyentuh kalbu bagi sesiapa yang mendengarnya.




1 ulasan:

Fauziah berkata...

Usman Awang begitu prihatin dengan pemilihan kata-kata dalam puisinya. Saya teringat pertama kali saya membaca puisi ini semasa pengajaran Sivik dan Moral di sekolah. Begitu mengusik kalbu. Apatah lagi semasa membicarakan tentang pengorbanan ibu.
Memberikan kesedaran dan keinsafan tentang pengertian kasih sayang sejati.