Pada pukul tiga petang tadi, saya telah membuat temu janji untuk menemuramah penulis mapan Mohamed Latiff Mohamed di Perpustakaan Woodlands di Pusat Sivik. Beliau adalah penulis puisi-puisi popular yang sering diperkatakan yakni, Melayuku Melayumu, Melayu Baharu dan banyak lagi. Beliau juga adalah pengarang bagi novel, Ziarah Rindu, Ziarah Cinta dan Batas Langit.
Selama 2 jam setengah berbual bersama beliau, saya rasa segan dan terharu mendengar luahan rasa hati beliau. Beliau telah melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap perjuangannya selama 40 tahun berkarya, memperjuangkan nasib masyarakat Melayu bawahan tetapi beliau tidak nampak keberkesanannya. Pada beliau, apa yang beliau tulis selama ini sia-sia belaka dan beliau terasa sepi kerana tiada sesiapa yang memahami perjuangan beliau.
Saya berasa seronok mendengar cerita-cerita pengalaman hidupnya. Baru-baru ini, beliau telah mengajar kelas sastera di salah sebuah maktab rendah sebagai guru sambilan. Beliau terperanjat kerana di dalam kelas itu tidak sesiapa yang mengenali beliau. Setelah ditulis namanya di papan putih, ada seorang pelajar itu mengagak yang beliau ialah seorang penulis. Salah siapa? Salah pelajar yang tidak membaca secara meluas? Salah guru sastera? Tetapi inikan kelas sastera!
Salah satu cerita yang membuat saya rasa terkilan, jiran Indianya mengenali beliau tetapi bukan jiran Melayunya yang bekerja sebagai pemandu teksi. Apakah yang telah berlaku? Bukan rasa kecewa kerana tidak dikenali, tetapi masyarakat Melayu masih belum banyak berubah...
Pada akhir sesi temu ramah itu, rasa hormat saya kepada beliau meloncat tinggi, bukan sahaja kerana beliau seorang tua, tetapi oleh kerana gagasan-gagasan hidup beliau yang disampaikan melalui karyanya. Kita perlu mengenali untuk memahami...

1 ulasan:
Puisi yang sangat saya gemari oleh Mohamed Latiff Mohamed ialah Melayuku, Melayumu. Mengupas tentang pengertian bangsa Melayu. Pada pendapat saya, mencipta puisi lebih sukar berbanding dengan menulis novel. Puisi perlukan kata-kata yang tepat dan memberi impak agar mesejnya dapat disampaikan dengan jelas. Manakala, novel hanya memerlukan penulis mengembangkan ideanya melalui penghidupan watak.
Catat Ulasan